Berpijak Di Bumi Yang Nyata

Sabda Rasulullah s.a.w : “Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .

Soalan yang sering dipertanyakan berkaitan solat tarawikh

Soalan :

Assalamualikum. Saya ingin bertanya bolehkah seorang imam melihat kitab suci Al-Quran dari melihat ke tempat sujud. In kerana kebanyakkan imam khususnya pada bulan Ramadhan seiring melihat teks Al-Quran apabila menunaikan solat Tarawih. Adakah terdapatnya hadis dari nabi berkaitan hal ini.

Jawapan :

Para ulama berbeza pendapat dalam masalah ini. Ulama mazhab al-Syafie berpendapat tidak mengapa seseorang yang sedang solat membaca dari mashaf dengan syarat dia tidak melakukan pergerakan yang boleh membatalkan solat. Jika dia melakukan tiga kali pergerakan (besar) yang berturut-turut, maka batal solatnya. Syeikh 'Atiyah Soqr menyebut :

"Kadang-kadang sesuatu yang dapat membantu untuk tidak banyak bergerak dengan meletakkan mashaf yang memiliki tulisan yang besar di atas sesuatu yang tinggi di hadapan orang yang solat, untuk dia boleh membaca daripadanya satu atau dua muka. Dan dia tidak perlu banyak menyelak muka surat, sedikit pergerakan untuk menyelak muka surat tidak membatalkan solat. al-Nawawi berkata : Jika sekali-sekala menyelak muka surat mashaf ketika solat tidak mengapa."

Ulama mazhab Malik pula berpendapat harus di dalam solat sunat dan makruh di dalam solat wajib. Ini juga pendapat imam Ahmad dalam salah satu riwayat daripadanya.

Ulama mazhab Hanafi pula melarang melakukannya samaada di dalam solat sunat ataupun fardhu.

Al-Qadhi Abu Ya'la pula memakruhkan di dalam solat fardhu, dan tidak mengapa di dalam solat sunat jika dia tidak menghafalnya. Jika dia menghafal, maka perbuatan itu juga adalah makruh.

Namun terdapat hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam kitab Sahihnya demikian juga oleh Malik bahawasanya Zakwan, iaitu hamba Sayyidah 'A-isyah pernah menjadi imam kepadanya dalam bulan Ramadhan dan Zakwan membaca dengan melihat kepada mashaf.

Ibn Hajar di dalam kitabnya Fath al-Bari menyebut

"Dijadikan dalil dengannya akan keharusan seorang yang sedang solat membaca dari mashaf. Namun sebahagian melarangnya kerana perbuatan tersebut menyebabkan pergerakan yang banyak."

al-Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz menyebut :

"Tidak mengapa bacaaan dengan melihat mashaf ketika qiyam Ramadhan, kerana perbuatan tersebut bertujuan mendengarkan para makmum keseluruhan al-Quran, kerana dalil-dalil syara' dari al-Kitab dan al-SUnnah telah menunjukkan disyariatkan membaca la-Quran di dalam solat, dan ianya umum termasuk membaca dari mashaf dan dari hafalan. Telah thabit juga dari 'A-isyah yang menyuruh hambanya Zakwan mengimamkannya qiyam Ramadhan, dan Zakwan membaca dengan melihat mushaf seperti yang disebut oleh al-Bukhari di dalam kitab sahihnya secara ta'lik."

Insyaallah pendapat yang benar ialah pendapat yang membenarkan seseorang yang sedang solat termasuk imam melihat mushaf berdasarkan perbuatan sahabat dan 'A-isyah yang pernah melakukannya.

Wallahu a'lam. Abdul Kadir


Rujukan :

http://www.islam-qa.com/special/index.php?ref=9061&ln=ara&subsite=14

http://islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-

Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528601388

http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1122528604230&pagename

=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar%2FFatwaA%2FFatwaAAskTheScholar


Dipetik dari laman web : http://www.al-qayyim.net

Assalamu`alaikum

Selamat menyambut bulan Ramadhan kepada semua sahabat-sahabat yang pulang ke halaman rumah masing-masing. Ramadhan merupakan satu bulan yang teramat mulia penuh dengan kurniaan rahmat Allah.



Menurut satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud “Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan”. [Hadith dikeluarkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi]

Maka amat rugi kalau mereka yang tidak mengejar segala rahmat yang diberikan pada bulan ini. Gunakanlah masa berpuasa dengan kegiatan yang berfaedah dan jangan banyakkan tidur di siang hari. Namun banyakkanlah doa, dan doakanlah juga untuk kesejahteraan umat islam. Sesungguhnya doa di bulan Ramadhan mudah dimakbulkan. Insya`Allah...


Selamat bercuti…

Pelbagai doa telah tersebar dalam masyarakat bagi mengelakkan terkena virus H1N1. Namun adalah lebih baik, jika kita berdoa seperti yang telah Rasulullah ajarkan. Doa ini adalah doa/zikir yang sesuai dibaca bagi menghindarkan diri dari segala penyakit terutama virus H1N1 yang telah melanda di seluruh dunia. Doa ini hanya sisipan daripada doa-doa pagi dan petang yang telah dikumpulkan di dalam Hisnul Muslim. Antara doa tersebut ialah:

Maksud:
Utsman B. ‘Affan radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
Berkata Rasulullah SAW: Sesiapa dari hamba Allah yang membaca (Doa/Zikir):


بِسْمِ اللهِالَّذِي لا يَضُرُّ مَعَاسْمِهِشَيْءٌفِياْلأَرْضِ

وَلاَفِيالسَّمَاءِوَهُوَالسَّمِيْعُالْعَلِيْمُ


Bismillaahil-lathee laa yadhurru ma `asmihi shai`un fil-ardhi wa laa fis-ssmaa`i wa Huwas-Samee`ul-`Aleem.


“Dengan menyebut nama Allah, yang dengan nama-Nya tidak ada sesuatu pun yang membahayakan, sama ada di bumi mahu pun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.”

Dibaca sebanyak tiga kali, di waktu pagi dan petang hari, maka tidak ada sesuatu pun akan membahayakan dirinya.


Rujukan :

Hisnul Muslim : [HR. Abu Dawud 4/323, At- Tirmidzi 5/465, Ibnu Majah dan Ahmad. Lihat Shahih Ibnu Majah 2/332, Al-Allamah Ibnu Baaz berpendapat, isnad hadits tersebut hasan dalam Tuhfatul Akhyar hal. 39.]


Assalamu`alaikum

Kasut ni saya beli kat al-ikhsan Kuala Terengganu yang baru dibuka. Kasut ni dibeli sebab kasut yang lama tue dah uzur sangat. Sampai tapak pun hampir nak tercabut. Yelah kira-kira hampir 2 tahun pakai, prestasi pun mestilah dah turun juga..sama jugalah seperti manusia, makin lama makin kurang prestasinya. Oleh itu, saya telah buat keputusan untuk mencari pegantinya yang baru.

Kebetulan pula pada malam tu sahabat saya Karim, datang singgah kat asrama sebelum bertolak ke KL. Pada masa itu saya sedang membuka laman web al-ikhsan, saje nak tengok-tengok mana tahu kalau ada yang berkenan di hati. Bajet untuk kasut kali ini saya telah tetapkan bawah RM100.00 sahaja. Akhirnya, saya terlihat satu kasut futsal Lotto 'Shoe Punta In' yang menambat hati ini. He..he angan-angan ingin tunggu sahaja cuti sekolah ni baru nak pergi cari. Tapi lepas makan malam kami terus bergegas ke bandar KT dengan kereta Karim.

Kami bergerak ke sana lebih kurang pukul 8.20 malam dan tiba di al-ikhsan pada pukul 9.35 malam. Nasib baik belum tutup lagi. Cuma sebelah pintunya sudah diturunkan..alhamdulilah. Al-ikhsan kat KT ni boleh tahan juga besar. Setiap jenis kasut diletakkan secara berasingan. Memang memudahkan pelanggan untuk membuat pilihan. Lotto Shoe Punta In yang saya idamkan tadi ada tersusun di atas rak…namun apakan daya tiada saiz yang sesuai.

Namun hati ini tidak hampa kerana ada satu lagi kasut futsal Lotto yang tidak kurang menarik. Setelah mencubanya, saya terus ke kaunter untuk membuat pembayaran. Kasut ni saya pilih sebab boleh pakai ke kuliah dan bermain futsal. Selepas kasut ini entahlah kasut apa pula yang akan saya beli..he..he.? Saya berharap kasut yang baru dibeli ini akan bertahan dengan lama..Insya`Allah..amin.



Alhamdulillah...

Tamat sudah praktikum fasa ketiga yang berlangsung selama 6 minggu di Sekolah Kebanggsaan Kampung Buloh, Setiu Terengganu. Pendek kata, secara keseluruhannya praktikum kali ini terasa lebih bermakna berbanding sebelum ini. Ini mungkin disebabkan saya tinggal bersama-sama murid di asrama.

Warga sekolah SKKB terutama guru-guru dan kakitangan sekolah sangat baik dengan kami sepanjang berada selama 6 minggu di sana. He..he…tambah-tambah lagi, mestilah kene baik dengan kerani kat pejabat tue. Barulah senang sikit nak photostat lembaran kerja untuk murid-murid. Nasib baik kerani kat sekolah nie “beres belaka” sampaikan kata “cikgu pi photostat je berapa-berapa yang nak”. Wah tersenyum lebarlah kami…he..he.

Warden asrama pula iaitu cikgu Fizi. Dia seorang baik dan peramah. Cikgu Fizi masih belum berkahwin, jadi memang satu kepalalah dengan kami. Sampaikan saya ajar dia main mafia wars kat tagged. Setiap petang kecuali jumaat dan sabtu kami, cikgu Fizi dan cikgu Napi “ikhlas royak”, melatih budak bola sepak bawah 11 tahun. Anjuran siapa lagi kalau tak guru besar kami cikgu Hashim@Mat jen..he..he. Beliau memang otai kat sekolah nie...orang lama katakan. Pertandingan bola sepak bawah 11 tahun akan diadakan selepas raya nanti. Saya berharap pasukan SKKB akan menjadi juara dalam pertandingan tersebut.

Akhir kata, ribuan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua warga sekolah SKKB. Semoga kita dapat bertemu lagi. Insya`Allah…amin


Tuan puteri pergi ke Rasah

Pulang semula sebelah pagi

Kita bertemu akhirnya berpisah

Diizin Tuhan bersua lagi

Rasulullah s.a.w amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w:

"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." [Hadis riwayat al-Bukhari no: 1923]

Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: "Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur." [Rujuk Fathul Baari, Jil. 11, ms. 120]

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab). Sabda Rasulullah s.a.w:

"Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasaahli kitab ialah makan sahur." [Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 643]

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.Oleh itu, Nabi s.a.w amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda s.a.w :

"Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." [Hadis riwayat Ahmad. no: 10664]

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit." [Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1919]

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

"Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)." [Surah al-Baqarah: 187]

Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a berkata:

"Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian akupun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w ." [Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1920]

Qadi Iyadh r.h berkata: "Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar." [Dinukil dari Fathul Baari, jil. 11, ms. 114]

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:

"Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat." [Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921]

Hadis ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut adalah Rasulullah s.a.w langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.


Artikel ini di petik dari laman blog: http://akob73.blogspot.com

1. Makan dengan tidak berlebih-lebihan

Allah berfirman: “Dan makanlah dan minumlah dan jangan kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak menyukaї orang yang berlebih-lebihan”. [Al-A`raf: 31]

2. Segera berbuka apabila masuk waktu Maghrib
Rasulullah bersabda: “Masihlah manusia itu dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka”. [Al-Bukhari/1957], [Muslim/ 1098].

3. Berbuka dengan rutab, tamar atau air
(Rutab: kurma masak. Tamar: kurma kering). Anas bin Malik berkata: Rasulullah berbuka sebelum dia bersalat dengan rutab. Jika tiada rutab, maka tamar. Jika tiada tamar, dia meneguk beberapa tegukan air. [At-Tirmizi/ 696, sahih]

4. Makan dahulu sebelum solat Maghrib
Rasulullah bersabda: “Apabila diletakkan makan malam seseorang kamu dan didirikan solat, maka mulakanlah dengan makan malam dan janganlah dia tergesa-gesa sehingga dia selesai daripadanya”. [Al- Bukhari/ 674]

5. Berdoa ketika berbuka
Sabda Rasulullah: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” [Ibn Majah di dalam Sunannya:1753. Sanadnya Hasan]

6. Mendoakan orang yang menjamu kita berbuka
Anas bin Malik RA meriwayatkan: “Rasulullah pernah datang ke (rumah) Sa’ad bin ‘Ubadah. Dia menghidangkan roti dan nyak. Baginda pun makan dan bersabda: “Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu orang yang baik, dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” [Sunan Abu Daud:3854, ad-Diya al-Maqdisi menyatakan ia sahih di dalam al-Ahadith al-Mukhtarah 5/518]

Oleh
Abd. Rasyid Bin Idris
(Institut Al-Qayyim, Pulau Pinang)


Takrif

1. Bahasa : Menahan diri.
Firman Allah:
فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنْسِيًّا
Terjemahan: "Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan, kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar untuk diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini".
(Maryam: 26)

2. Istilah syarak: Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkannya (daripada syahwat perut dan faraj), pada waktu siang (dari subuh hingga maghrib), dengan niatnya.[1]

Tarikh Pensyariatan

Bulan Syaaban tahun kedua hijrah. Oleh itu Rasulullah S.A.W telah sempat berpuasa sebanyak 9 kali.[2]

Kepentingan, Kelebihan dan Hikmah

1. Rukun Islam yang keempat.[3]

2. Perisai daripada maksiat .
Sabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadith qudsi:
وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ
Terjemahan: « Dan puasa itu perisai ».[4]

3. Merupakan tanda ketaatan mutlak kepada Allah S.W.T kerana kesangupan meninggalkan kelazatan dunia.

4. Dapat menghias diri dengan sifat sabar :
i. dalam mentaati Allah
ii. daripada melakukan maksiat
iii. daripada keperitan dan keletihan disebabkan lapar dan dahaga

[1] Lihat: Radd Al-Muhtar (7/316), mauqi‘ ya‘sub dan Fatawi Al-Azhar (1/116), http:www.islamic-council.com
[2] Rujuk: Al-Bassam, Abdullah Bin Abd. Rahman. Tawdih Al-Ahkam min Bulugh Al-Maram. (3/439), Mekah:Maktabah Al-Asadi, ctk.5 (2003M)
[3] Hadith Muttafaqun ‘alaih
[4] Hadith Muttafaqun ‘alaih


Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa

1. Perkara yang disepakati:


1.1- Riddah (Keluar daripada Islam)
Firman Allah S.W.T:
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ
Terjemahan: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan Engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi”.
(Al-Zumar:65)

1.2- Makan dan minum dengan sengaja
Firman Allah taala:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
Terjemahan:…“dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
(Al-Baqarah:187)

1.3- Persetubuhan
Firman Allah:
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ
Terjemahan: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Mereka itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka”.
(Al-Baqarah:187)


Hadith Abu Hurairah:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ هَلَكْتُ قَالَ وَمَا شَأْنُكَ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ قَالَ هَلْ تَجِدُ مَا تُعْتِقُ رَقَبَةً قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تُطْعِمَ سِتِّينَ مِسْكِينًا قَالَ لَا أَجِدُ....
Terjemahan: “Datang seorang lelaki kepada nabi S.A.W lalu berkata: aku telah musnah. Baginda bertanya: Apa kena dengan kamu? Jawabnya: Aku telah menyetubuhi isteriku dalam bulan Ramadan. Nabi bersabda: Adakah engkau memiliki hamba untuk dimerdekakan? Jawabnya: Tidak. Nabi bertanya lagi: Adakah engkau mampu berpuasa dua bula berturut-turut? Jawabnya: Tidak. Nabi bertanya lagi: Adakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin? Jawabnya: Aku tidak memiliki (apa-apa untuk diberikan)…[1]

1.4- Keluar haidh dan nifas.
Sabda Rasulullah S.A.W tentang wanita haidh:
أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ
Terjemahan: “Bukankah apabila wanita haidh, dia tidak solat dan tidak berpuasa?”[2]



2. Perkara yang diperselisihkan:


2.1- Mengeluarkan air mani dengan sengaja walau apa cara sekalipun
Ini disepakati oleh imam-imam mazhab yang empat. Ibn Al-Munzir dan Ibn Qudamah menyatakan ijmak ulama bahawa perlakuan ini merosakkan puasa.[3] Perbuatan ini mempunyai makna yang sama dengan jimak, ia juga berlawanan dengan sifat puasa seperti yang terdapat dalam sebuah hadith qudsi, Allah menyifatkan tentang orang yang berpuasa :
يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي
Terjemahan: “orang itu (yang berpuasa), meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya demi kerana-Ku”[4]

Bagaimanapun, Ibn Hazm menegaskan bahawa perbuatan ini bukanlah termasuk di dalam perkara yang membatalkan puasa. Ini kerana untuk menyatakan sesuatu itu sebagai pembatal, memerlukan kepada dalil, sedangkan tiada dalil yang jelas samada di dalam Al-Quran mahupun hadith. Jika benar ia membatalkan puasa tentu sahaja akan diberitahu oleh syarak sebagaimana diberitahu tentang perkara-perkara lain. Al-Albani seperti menyokong pandangan Ibn Hazm ini.
Pendapat yang lebih selamat ialah yang pertama, iaitu qaul jumhur.

2.2- Bercumbuan sehingga mengeluarkan air mazi (bukan mani)
Mazhab Abu Hanifah dan Al-Syafi‘e dan satu riwayat daripada Ahmad serta pilihan Syeikh Al-Islam Ibn Taymiyyah ianya tidak membatalkan puasa. Riwayat yang masyhur dari Ahmad, ia membatalkan puasa.
Qaul yang rajih ialah tidak membatalkan.

2.3- Muntah dengan sengaja
Sabda Rasululllah S.A.W:
مَنْ ذَرَعَهُ الْقَيْءُ وَهُوَ صَائِمٌ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ ، وَإِنْ اسْتَقَاءَ عَمْدًا فَلْيَقْضِ
Terjemahan: “Barangsiapa yang termuntah sedangkan dia sedang berpuasa, dia tidak perlu qada’, dan barangsiapa yang sengaja muntah hendaklah dia qada’ (puasa)”.[5]
Dalam mazhab Al-Thauri, Malik, Al-Syafi‘e, Ahmad, Ishaq dan Ibn Hazm ianya membatalkan puasa manakala yang masyhur dalam mazhab Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Ahmad ialah tidak batal.
Perbezaan timbul kerana perbezaan dalam menerima kesahihan hadith tersebut. Golongan ulama yang mendha’ifkan hadith ini ialah: Ahmad, Al-Bukhari, Abu Daud, Al-Khattabi, Al-Baghawi dan lain-lain. Mereka mendakwa bahawa salah seorang perawi hadith ini yang bernama Hisyam telah terkeliru dalam periwayatnnya. Golongan ulama yang mensahihkan atau menghukumnya hasan ialah Ibn Hibban, Al-Hakim, Al-Albani dan lain-lain. Adapun Al-Tirmizi, beliau menggunakan istilah hasan gharib (yang disebut oleh sebilangan pengkaji hadith sebagai lafaz mendha’ifkan)[6]

2.4- Berbekam
Sabda Rasulullah S.A.W:
أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ
Terjemahan: “Berbukalah (Terbatallah) orang yang membekam dan dibekam”[7]

Ibn ‘Abbas menceritakan:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ وَهُوَ مُحْرِمٌ وَاحْتَجَمَ وَهُوَ صَائِمٌ
Terjemahan: “Bahawasanya nabi S.A.W telah berbekam ketika baginda dalam ihram dan baginda telah berbekam sedangkan baginda berpuasa”[8]

Jumhur ulama berpendapat bahawa hadith kedua memansukhkan hadith yang pertama. Justeru berbekam tidak membatalkan puasa. Tetapi sebilangan ulama seperti Ahmad, Ibn Al-Qayyim dan lainnya menyatakan bahawa lafaz (sedangkan baginda berpuasa) adalah tidak sahih. Oleh itu mazhab Hanbali berpegang bahawa berbekam membatalkan puasa. Ini mengakibatkan juga batalnya puasa disebabkan perbuatan lain yang berbentuk mengeluarkan darah dari badan.[9]

Selain daripada perkara-perkara ini tidak thabit secara nas perlakuan-perlakuan lain yang membatalkan puasa. Ibn Hazm telah menyenaraikan beberapa perkara yang tidak membatalkan puasa antaranya : berbekam, mimpi yang keluar air mani, termuntah, memasukkan ubat ke dalam telinga, hidung dan dubur serta lain-lain lagi. Beliau menyatakan : « Sesungguhnya Allah S.W.T melarang kita ketika berpuasa daripada makan, minum, jimak, muntah dengan sengaja dan melakukan maksiat. Kita tidak pula mengetahui bahawa makan dan minum melalui dubur, saluran kencing, telinga, mata, hidung, orang yang luka di perut atau kepala ».[10] Bagaimanapun telah thabit melalui perubatan moden, makanan boleh diberikan melalui hidung dan suntikan glukos melalui saluran darah. Ibn Taymiyyah pula memberi komentar berhubung memakai celak dan memasukkan ubat ke dubur, katanya: «…semua perkara tersebut tidak membatalkan puasa. Sesungguhnya puasa sebahagian daripada agama yang menuntut umat Islam mengetahuinya sama ada individu ataupun jamaah. Sekiranya perkara-perkara tersebut terdiri daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya dalam puasa, serta mengakibatkan terbatalnya puasa, sudah tentulah menjadi tanggungjawab baginda menyampaikannya.…maka apabila tidak direkodkan daripada ahli ilmu daripada nabi S.A.W berhubung perkara ini samada melalui hadith sahih, dha’if, musnad dan mursal, maka ketahuilah bahawa baginda tidak pernah menyebut sesuatupun daripadanya ».[11]

Oleh itu kaedah penting dalam ibadat ialah :

  • Sebarang dakwaan tentang batalnya ibadat memerlukan dalil yang kukuh sebagaimana ia memerlukan dalil yang kukuh mensyariatkannya.
  • Tidak diterima sebarang syarat, rukun atau sesuatu yang sunat atau makruh melainkan dengan dalil.


Amalan dan Sangkaan Masyarakat

1. Lafaz niat
Para fuqaha’ memang telah membincangkan tentang tajuk niat di dalam kitab-kitab mereka. Persoalan boleh atau tidak berniat di awal Ramadan atau memerlukan tajdid niat pada setiap malam. Ini berdasarkan sabdaan rasul S.A.W:
مَنْ لَمْ يُجْمِعْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ
Terjemahan: “Barangsiapa tidak berniat puasa di malam hari sebelum subuh, maka tiada puasa baginya”[12]

Bagaimanapun tiada di kalangan ulama mutaqaddimin yang membicarakan tentang lafaz niat puasa sebagaiman yang sering ditekankan oleh masyarakat dan dalam silibus Pendidikan Islam di sekolah.
Niat ialah: menuruti ilmu; oleh itu barangsiapa yang mengetahui apa yang dia mahu lakukan, semestinya dia telah berniatkannya.[13] Adakah melafazkan niat suatu yang disunatkan atau dimakruhkan? Terdapat beberapa pendapat berhubung hal ini. Dipilih oleh penulis kitab al-Hidayah: pendapat pertama (disunatkan) bagi orang yang tidak dapat menghimpunkan niat dan azamnya (iaitu orang yang sukar mempastikan apa yang dia sendiri hendak lakukan). Dan berkata pengarang al-Fath: Tidak dinukilkan daripada Nabi S.A.W dan para sahabat baginda bahawa mereka melafazkannya, tiada dalam hadis sahih dan tidak juga dalam hadis dhaif. Ibn Amir Hajj menambah: dan tidak juga daripada (amalan) imam-imam yang empat (Abu Hanifah, Malik, al-Syafi'e dan Ahmad).[14] Berdasarkan perkataan Ibn 'Abidin al-Hanafi ini, boleh dikatakan bahawa yang disunatkan melafazkan niatnya hanyalah orang-orang yang kurang kemampuan akalnya. Ini jelas kerana orang yang tidak mampu memastikan apa yang hendak dilakukan bukanlah orang cerdik. Dia mungkin seorang yang sangat pelupa, tidak cukup akal atau seumpamanya.

2. Waktu Imsak
Amalan menghentikan sahur lebih awal daripada waktu solat subuh supaya dapat bersegera menunaikannya secara berjemaah adalah suatu yang baik. Tetapi menyangka bahawa waktu sahur tamat pada waktu yang dinamakan imsak adalah salah dan bercanggah dengan dalil-dalil Al-Quran dan hadith.
i- Firman Allah taala:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
Terjemahan:…“dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
(Al-Baqarah:187)

ii- Sabda Rasul S.A.W :

إِنَّ بِلَالًا يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ
Terjemahan : « Sesungguhnya Bilal azan (yang pertama) pada waktu malam, maka makanlah dan minumlah sehingga Ibn Umm Maktum azan ».[15]
Bahkan masih dibolehkan untuk menghabiskan saki baki makanan dan minuman ketika azan sudah dilaungkan. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W :
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمْ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ
Terjemahan : « Apabila seorang dari kamu mendengar azan, sedangkan bekas (makanan atau minuman) berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehinggalah dia memenuhkan hajatnya daripadanya (makanan atau minuman) ».[16]

3. Fadhilat Tarawih Beberapa waktu yang lalu sering dihebahkan tentang kelebihan solat tarawih bagi setiap malam Ramadan. Ramailah juga penceramah yang ‘cari makan’ dengan menghuraikan risalah tersebut. Apabila diungkit bahawa perkara tersebut adalah hadith palsu, ramai yang melenting. Tetapi akhirnya diakui oleh pihak berkuasa agama di beberapa negeri bahawa penyebaran perkara tersebut bercanggah dengan agama.


[1] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 4949, Sahih Al-Bukhari (20/424), http://www.al-islam.com/
[2] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 293, Sahih Al-Bukhari (2/3), http://www.al-islam.com/
[3] Al-Bassam, opt.cit (3/486)
[4] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 1761, Sahih Al-Bukhari (6/457), http://www.al-islam.com/
[5] Hadith riwayat Al-Tirmizi no. 653, Sunan Al-Tirmizi (3/162), http://www.al-islam.com/
[6] Rujuk: Al-Asqalani. Nasb Al-Rayah (4/410), http://www.al-islam.com/, Al-Bassam, opt.cit (3/500), Al-Albani, Sahih wa Dha’if Sunan Al-Tirmizi (2/220), Iskandariyyah:Markaz Nur Al-Islam.
[7] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 1802, Sahih Al-Bukhari (7/27)
[8] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 1802, Sahih Al-Bukhari (7/28)
[9] Al-Bassam, opt.cit (3/489-491)
[10] Ibn Hazm Al-Andalusi. Al-Muhalla (6/214)
[11] Ibn Taymiyyah. Majmu’ Fatawi (25/234)
[12] Hadith sahih riwayat Abu Daud no. 2098, Sunan Abi Daud (6/445), http://www.al-islam.com/
[13] Ibn Taimiyyah. Kutub wa Rasa'il wa Fatawi Ibn Taimiyyah Fi al-Fiqh, (22/219-220)
[14] Ibn 'Abidin. Hasyiyah Ibn 'Abidin. Beirut: Dar al-Fikr, thn. 1387H, (1/108)
[15] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 582, Sahih Al-Bukhari (2/487)
[16] Hadith sahih riwayat Abu Daud no. 2003, Sunan Abi Daud (6/297).