Abd. Rasyid Bin Idris
(Institut Al-Qayyim, Pulau Pinang)
Takrif
1. Bahasa : Menahan diri.
Firman Allah:
فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنْسِيًّا
Terjemahan: "Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan, kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar untuk diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini".
(Maryam: 26)
2. Istilah syarak: Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkannya (daripada syahwat perut dan faraj), pada waktu siang (dari subuh hingga maghrib), dengan niatnya.[1]
Tarikh Pensyariatan
Bulan Syaaban tahun kedua hijrah. Oleh itu Rasulullah S.A.W telah sempat berpuasa sebanyak 9 kali.[2]
Kepentingan, Kelebihan dan Hikmah
1. Rukun Islam yang keempat.[3]
2. Perisai daripada maksiat .
Sabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadith qudsi:
وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ
Terjemahan: « Dan puasa itu perisai ».[4]
3. Merupakan tanda ketaatan mutlak kepada Allah S.W.T kerana kesangupan meninggalkan kelazatan dunia.
4. Dapat menghias diri dengan sifat sabar :
i. dalam mentaati Allah
ii. daripada melakukan maksiat
iii. daripada keperitan dan keletihan disebabkan lapar dan dahaga
[1] Lihat: Radd Al-Muhtar (7/316), mauqi‘ ya‘sub dan Fatawi Al-Azhar (1/116), http:www.islamic-council.com
[2] Rujuk: Al-Bassam, Abdullah Bin Abd. Rahman. Tawdih Al-Ahkam min Bulugh Al-Maram. (3/439), Mekah:Maktabah Al-Asadi, ctk.5 (2003M)
[3] Hadith Muttafaqun ‘alaih
[4] Hadith Muttafaqun ‘alaih
Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa
1. Perkara yang disepakati:
1.1- Riddah (Keluar daripada Islam)
Firman Allah S.W.T:
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ
Terjemahan: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan Engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi”.
(Al-Zumar:65)
1.2- Makan dan minum dengan sengaja
Firman Allah taala:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
Terjemahan:…“dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
(Al-Baqarah:187)
1.3- Persetubuhan
Firman Allah:
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ
Terjemahan: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Mereka itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka”.
(Al-Baqarah:187)
Hadith Abu Hurairah:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ هَلَكْتُ قَالَ وَمَا شَأْنُكَ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ قَالَ هَلْ تَجِدُ مَا تُعْتِقُ رَقَبَةً قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تُطْعِمَ سِتِّينَ مِسْكِينًا قَالَ لَا أَجِدُ....
Terjemahan: “Datang seorang lelaki kepada nabi S.A.W lalu berkata: aku telah musnah. Baginda bertanya: Apa kena dengan kamu? Jawabnya: Aku telah menyetubuhi isteriku dalam bulan Ramadan. Nabi bersabda: Adakah engkau memiliki hamba untuk dimerdekakan? Jawabnya: Tidak. Nabi bertanya lagi: Adakah engkau mampu berpuasa dua bula berturut-turut? Jawabnya: Tidak. Nabi bertanya lagi: Adakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin? Jawabnya: Aku tidak memiliki (apa-apa untuk diberikan)…[1]
1.4- Keluar haidh dan nifas.
Sabda Rasulullah S.A.W tentang wanita haidh:
أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ
Terjemahan: “Bukankah apabila wanita haidh, dia tidak solat dan tidak berpuasa?”[2]
2. Perkara yang diperselisihkan:
2.1- Mengeluarkan air mani dengan sengaja walau apa cara sekalipun
Ini disepakati oleh imam-imam mazhab yang empat. Ibn Al-Munzir dan Ibn Qudamah menyatakan ijmak ulama bahawa perlakuan ini merosakkan puasa.[3] Perbuatan ini mempunyai makna yang sama dengan jimak, ia juga berlawanan dengan sifat puasa seperti yang terdapat dalam sebuah hadith qudsi, Allah menyifatkan tentang orang yang berpuasa :
يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي
Terjemahan: “orang itu (yang berpuasa), meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya demi kerana-Ku”[4]
Bagaimanapun, Ibn Hazm menegaskan bahawa perbuatan ini bukanlah termasuk di dalam perkara yang membatalkan puasa. Ini kerana untuk menyatakan sesuatu itu sebagai pembatal, memerlukan kepada dalil, sedangkan tiada dalil yang jelas samada di dalam Al-Quran mahupun hadith. Jika benar ia membatalkan puasa tentu sahaja akan diberitahu oleh syarak sebagaimana diberitahu tentang perkara-perkara lain. Al-Albani seperti menyokong pandangan Ibn Hazm ini.
Pendapat yang lebih selamat ialah yang pertama, iaitu qaul jumhur.
2.2- Bercumbuan sehingga mengeluarkan air mazi (bukan mani)
Mazhab Abu Hanifah dan Al-Syafi‘e dan satu riwayat daripada Ahmad serta pilihan Syeikh Al-Islam Ibn Taymiyyah ianya tidak membatalkan puasa. Riwayat yang masyhur dari Ahmad, ia membatalkan puasa.
Qaul yang rajih ialah tidak membatalkan.
2.3- Muntah dengan sengaja
Sabda Rasululllah S.A.W:
مَنْ ذَرَعَهُ الْقَيْءُ وَهُوَ صَائِمٌ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ ، وَإِنْ اسْتَقَاءَ عَمْدًا فَلْيَقْضِ
Terjemahan: “Barangsiapa yang termuntah sedangkan dia sedang berpuasa, dia tidak perlu qada’, dan barangsiapa yang sengaja muntah hendaklah dia qada’ (puasa)”.[5]
Dalam mazhab Al-Thauri, Malik, Al-Syafi‘e, Ahmad, Ishaq dan Ibn Hazm ianya membatalkan puasa manakala yang masyhur dalam mazhab Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Ahmad ialah tidak batal.
Perbezaan timbul kerana perbezaan dalam menerima kesahihan hadith tersebut. Golongan ulama yang mendha’ifkan hadith ini ialah: Ahmad, Al-Bukhari, Abu Daud, Al-Khattabi, Al-Baghawi dan lain-lain. Mereka mendakwa bahawa salah seorang perawi hadith ini yang bernama Hisyam telah terkeliru dalam periwayatnnya. Golongan ulama yang mensahihkan atau menghukumnya hasan ialah Ibn Hibban, Al-Hakim, Al-Albani dan lain-lain. Adapun Al-Tirmizi, beliau menggunakan istilah hasan gharib (yang disebut oleh sebilangan pengkaji hadith sebagai lafaz mendha’ifkan)[6]
2.4- Berbekam
Sabda Rasulullah S.A.W:
أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ
Terjemahan: “Berbukalah (Terbatallah) orang yang membekam dan dibekam”[7]
Ibn ‘Abbas menceritakan:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ وَهُوَ مُحْرِمٌ وَاحْتَجَمَ وَهُوَ صَائِمٌ
Terjemahan: “Bahawasanya nabi S.A.W telah berbekam ketika baginda dalam ihram dan baginda telah berbekam sedangkan baginda berpuasa”[8]
Jumhur ulama berpendapat bahawa hadith kedua memansukhkan hadith yang pertama. Justeru berbekam tidak membatalkan puasa. Tetapi sebilangan ulama seperti Ahmad, Ibn Al-Qayyim dan lainnya menyatakan bahawa lafaz (sedangkan baginda berpuasa) adalah tidak sahih. Oleh itu mazhab Hanbali berpegang bahawa berbekam membatalkan puasa. Ini mengakibatkan juga batalnya puasa disebabkan perbuatan lain yang berbentuk mengeluarkan darah dari badan.[9]
Selain daripada perkara-perkara ini tidak thabit secara nas perlakuan-perlakuan lain yang membatalkan puasa. Ibn Hazm telah menyenaraikan beberapa perkara yang tidak membatalkan puasa antaranya : berbekam, mimpi yang keluar air mani, termuntah, memasukkan ubat ke dalam telinga, hidung dan dubur serta lain-lain lagi. Beliau menyatakan : « Sesungguhnya Allah S.W.T melarang kita ketika berpuasa daripada makan, minum, jimak, muntah dengan sengaja dan melakukan maksiat. Kita tidak pula mengetahui bahawa makan dan minum melalui dubur, saluran kencing, telinga, mata, hidung, orang yang luka di perut atau kepala ».[10] Bagaimanapun telah thabit melalui perubatan moden, makanan boleh diberikan melalui hidung dan suntikan glukos melalui saluran darah. Ibn Taymiyyah pula memberi komentar berhubung memakai celak dan memasukkan ubat ke dubur, katanya: «…semua perkara tersebut tidak membatalkan puasa. Sesungguhnya puasa sebahagian daripada agama yang menuntut umat Islam mengetahuinya sama ada individu ataupun jamaah. Sekiranya perkara-perkara tersebut terdiri daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya dalam puasa, serta mengakibatkan terbatalnya puasa, sudah tentulah menjadi tanggungjawab baginda menyampaikannya.…maka apabila tidak direkodkan daripada ahli ilmu daripada nabi S.A.W berhubung perkara ini samada melalui hadith sahih, dha’if, musnad dan mursal, maka ketahuilah bahawa baginda tidak pernah menyebut sesuatupun daripadanya ».[11]
Oleh itu kaedah penting dalam ibadat ialah :
- Sebarang dakwaan tentang batalnya ibadat memerlukan dalil yang kukuh sebagaimana ia memerlukan dalil yang kukuh mensyariatkannya.
- Tidak diterima sebarang syarat, rukun atau sesuatu yang sunat atau makruh melainkan dengan dalil.
Amalan dan Sangkaan Masyarakat
1. Lafaz niat
Para fuqaha’ memang telah membincangkan tentang tajuk niat di dalam kitab-kitab mereka. Persoalan boleh atau tidak berniat di awal Ramadan atau memerlukan tajdid niat pada setiap malam. Ini berdasarkan sabdaan rasul S.A.W:
مَنْ لَمْ يُجْمِعْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ
Terjemahan: “Barangsiapa tidak berniat puasa di malam hari sebelum subuh, maka tiada puasa baginya”[12]
Bagaimanapun tiada di kalangan ulama mutaqaddimin yang membicarakan tentang lafaz niat puasa sebagaiman yang sering ditekankan oleh masyarakat dan dalam silibus Pendidikan Islam di sekolah.
Niat ialah: menuruti ilmu; oleh itu barangsiapa yang mengetahui apa yang dia mahu lakukan, semestinya dia telah berniatkannya.[13] Adakah melafazkan niat suatu yang disunatkan atau dimakruhkan? Terdapat beberapa pendapat berhubung hal ini. Dipilih oleh penulis kitab al-Hidayah: pendapat pertama (disunatkan) bagi orang yang tidak dapat menghimpunkan niat dan azamnya (iaitu orang yang sukar mempastikan apa yang dia sendiri hendak lakukan). Dan berkata pengarang al-Fath: Tidak dinukilkan daripada Nabi S.A.W dan para sahabat baginda bahawa mereka melafazkannya, tiada dalam hadis sahih dan tidak juga dalam hadis dhaif. Ibn Amir Hajj menambah: dan tidak juga daripada (amalan) imam-imam yang empat (Abu Hanifah, Malik, al-Syafi'e dan Ahmad).[14] Berdasarkan perkataan Ibn 'Abidin al-Hanafi ini, boleh dikatakan bahawa yang disunatkan melafazkan niatnya hanyalah orang-orang yang kurang kemampuan akalnya. Ini jelas kerana orang yang tidak mampu memastikan apa yang hendak dilakukan bukanlah orang cerdik. Dia mungkin seorang yang sangat pelupa, tidak cukup akal atau seumpamanya.
2. Waktu Imsak
Amalan menghentikan sahur lebih awal daripada waktu solat subuh supaya dapat bersegera menunaikannya secara berjemaah adalah suatu yang baik. Tetapi menyangka bahawa waktu sahur tamat pada waktu yang dinamakan imsak adalah salah dan bercanggah dengan dalil-dalil Al-Quran dan hadith.
i- Firman Allah taala:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
Terjemahan:…“dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
(Al-Baqarah:187)
ii- Sabda Rasul S.A.W :
إِنَّ بِلَالًا يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ
Terjemahan : « Sesungguhnya Bilal azan (yang pertama) pada waktu malam, maka makanlah dan minumlah sehingga Ibn Umm Maktum azan ».[15]
Bahkan masih dibolehkan untuk menghabiskan saki baki makanan dan minuman ketika azan sudah dilaungkan. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W :
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمْ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ
Terjemahan : « Apabila seorang dari kamu mendengar azan, sedangkan bekas (makanan atau minuman) berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehinggalah dia memenuhkan hajatnya daripadanya (makanan atau minuman) ».[16]
3. Fadhilat Tarawih Beberapa waktu yang lalu sering dihebahkan tentang kelebihan solat tarawih bagi setiap malam Ramadan. Ramailah juga penceramah yang ‘cari makan’ dengan menghuraikan risalah tersebut. Apabila diungkit bahawa perkara tersebut adalah hadith palsu, ramai yang melenting. Tetapi akhirnya diakui oleh pihak berkuasa agama di beberapa negeri bahawa penyebaran perkara tersebut bercanggah dengan agama.
[1] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 4949, Sahih Al-Bukhari (20/424), http://www.al-islam.com/
[2] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 293, Sahih Al-Bukhari (2/3), http://www.al-islam.com/
[3] Al-Bassam, opt.cit (3/486)
[4] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 1761, Sahih Al-Bukhari (6/457), http://www.al-islam.com/
[5] Hadith riwayat Al-Tirmizi no. 653, Sunan Al-Tirmizi (3/162), http://www.al-islam.com/
[6] Rujuk: Al-Asqalani. Nasb Al-Rayah (4/410), http://www.al-islam.com/, Al-Bassam, opt.cit (3/500), Al-Albani, Sahih wa Dha’if Sunan Al-Tirmizi (2/220), Iskandariyyah:Markaz Nur Al-Islam.
[7] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 1802, Sahih Al-Bukhari (7/27)
[8] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 1802, Sahih Al-Bukhari (7/28)
[9] Al-Bassam, opt.cit (3/489-491)
[10] Ibn Hazm Al-Andalusi. Al-Muhalla (6/214)
[11] Ibn Taymiyyah. Majmu’ Fatawi (25/234)
[12] Hadith sahih riwayat Abu Daud no. 2098, Sunan Abi Daud (6/445), http://www.al-islam.com/
[13] Ibn Taimiyyah. Kutub wa Rasa'il wa Fatawi Ibn Taimiyyah Fi al-Fiqh, (22/219-220)
[14] Ibn 'Abidin. Hasyiyah Ibn 'Abidin. Beirut: Dar al-Fikr, thn. 1387H, (1/108)
[15] Hadith riwayat Al-Bukhari no. 582, Sahih Al-Bukhari (2/487)
[16] Hadith sahih riwayat Abu Daud no. 2003, Sunan Abi Daud (6/297).
0 comments:
Post a Comment